Hasil karya : rowhoney)
Dalam pencarianku untuk mendapatkan pekerjaan tetap, aku telah memohon sebagai Jurulatih Program Khidmat Negara (PKN). Alhamdulillah, permohonanku diterima. Aku telah dipilih untuk menghadiri kursus Jurulatih PKN bagi modul Pembinaan Karektor di Cybertel, Kajang, Selangor.Kursus tersebut sememangnya memberikan aku satu pengalaman baru dan unik yang tidak mungkin akan ku lupakan seumur hidup. Kursus yang dijalankan selama dua minggu itu dibahagikan kepada dua modul iaitu Modul 1 untuk ?Melahirkan yang Terbaik daripada Diri Sendiri? dan Modul 2 pula lebih tertumpu kepada ?Melahirkan yang Terbaik daripada Pihak Lain?. Sepanjang minggu pertama selama lima hari di sana, setiap bakal jurulatih telah menjalani kursus yang berbentuk experiential iaitu kami sendiri menjadi peserta PKN dan mengambil bahagian dalam setiap latihan dan aktiviti untuk modul tersebut. Minggu kedua pula yang juga berlangsung selama lima hari merupakan waktu untuk kami berlatih dan mempersiapkan diri bagi menjalankan sesi latihan yang sebenar kepada peserta PKN kelak.Pendekatan kursus seperti ini adalah lebih berkesan apabila kami merasai sendiri bagaimana keadaannya di tempat peserta PKN yang perlu menjalani latihan dan aktiviti yang pelbagai dalam modul ini. Modul Pembinaan Karektor telah direka dengan kreatif melalui pelbagai jenis permainan yang unik dan tidak kurang juga melucukan untuk dimainkan oleh khalayak pada peringkat umur dewasa. Salah satu permainan yang mendapat tempat di hatiku dinamakan Telur-Ayam-Dinasor-Raja. Dalam kursus ini, ia lebih dikenali dengan nama Inggerisnya iaitu Egg-Chicken-Dinasour-King, ini kerana bagi modul Pembinaan Karektor, kumpulan tenaga pengajarnya adalah dari peringkat antarabangsa. Jurulatih yang bertanggungjawab melatih kami pada waktu itu bernama Edwina, seorang tenaga pengajar dari Kanada yang berbangsa Cina. Beliau mempunyai pengalaman lebih sepuluh tahun dalam bidang motivasi dan kaunseling. Dengan pengalamannya di banyak negara sebelum ini, beliau telah berjaya menarik minat dan penyertaan kami yang pada awalnya agak keberatan untuk turut serta melakukan pelbagai aktiviti yang kadangkala di luar jangkaan. Kesungguhannya melatih dan berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan kami membuatkan semangat kami berkobar-kobar untuk menjayakan PKN yang pertama kali dilaksanakan di negara ini. Berbalik kepada ceritaku tentang permainan tadi, secara teknikalnya permainan ini dimainkan dalam satu kumpulan yang dinamakan skuad. Kelas kami yang seramai 120 orang pada waktu itu telah dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu seramai 30 orang untuk setiap skuad.Dalam keadaan duduk di atas lantai, Edwina telah mengarahkan kami untuk membuat bentuk telur. Ramai di antara kami yang melakukannya dengan kedua belah telapak tangan membentuk objek bujur seakan telur namun apa yang dikehendaki dalam permainan ini ialah kami perlu menggunakan ekspresi badan sepenuhnya untuk membentuk sebiji telur. Maka, dengan kedudukan di atas lantai, kedua lutut bengkok merapati dada, setiap daripada kami perlu meletakkan dagu di atas lutut dan kedua belah tangan menutup kepala. Setelah Edwina berpuashati melihat 120 ?orang? telur di hadapannya, kami diarahkan pula untuk berlagak seperti ayam. Jadi, dalam keadaan mencangkung, kami semua yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia 20an hingga 50an terpaksa melakukan aksi seekor ayam. Kedua belah tangan mengibas seperti kepak dan mengeluarkan suara kokokan ayam. Ada juga yang malu-malu. Tidak kurang pula yang bersungguh-sungguh berkokok seperti seekor ayam jantan mengejutkan tuannya pada waktu pagi. Tidak cukup dengan itu, kami seterusnya dikehendaki beraksi sebagai dinasor! Inilah bahagian yang paling melucukan. Tidak pernah aku bayangkan untuk beraksi sedemikian di hadapan orang ramai. Terbeliak juga mataku melihat Edwina tanpa segan silu melakukan demo aksi tersebut untuk diikuti oleh kami. Lutut perlu dibengkokkan sedikit, tangan kanan diletakkan di hadapan seolah-olah leher dan kepala dinasor tersebut dan tangan kiri pula diletakkan di belakang sebagai ekor. Aksi ini lebih melucukan apabila kami perlu berjalan dengan menggerakkan kedua belah tangan yang di atas dan bawah tadi ke arah depan dan belakang. Bagaikan tarian dengan pakaian ala zaman firaun tetapi secara melintang.Setiap kali mengingatkan pengalaman tersebut, aku pasti akan ketawa sendiri. Bayangkan golongan guru, pensyarah, pegawai kerajaan, ahli perniagaan dan tidak terkecuali juga pesara tentera dan surirumah pada usia 40an dan 50an melakukannya. Aku sendiri pada usia 20an agak malu-malu untuk beraksi sedemikian terutamanya di hadapan peserta kursus yang berlainan jantina. Tiada siapa yang berpeluang untuk control handsome dan cun ketika itu.Jika diikutkan hati mungkin ramai yang enggan menyertai permainan ini namun apabila difikirkan bahawa kami sendiri yang akan mengajarnya kepada para peserta PKN nanti maka demi tanggungjawab untuk menghasilkan yang terbaik, perasaan malu dan ego perlu diketepikan.Aksi terakhir bagi permainan ini ialah menjadi raja. Inilah aksi yang ditunggu-tunggu untuk permainan ini. Setiap orang dikehendaki berdiri dengan gahnya sambil terdongak sedikit. Kedua belah tangan menyilang di dada dan ketawa terbahak-bahak umpama seorang raja yang sedang dihiburkan oleh khadam istana. Setelah mempelajari keempat-empat aksi tersebut, kini tibalah masa untuk permainan yang sebenar. Edwina yang pada ketika itu berada dalam bulatan salah satu skuad telah memanggil dua orang peserta lelaki untuk demo permainan Oo-som. Permainan ini sememangnya biasa dimainkan semasa peringkat umur kanak-kanak. Pemain akan menunjukkan tangan dalam bentuk objek gunting, kertas atau batu kepada pihak lawan. Gunting akan menang dengan kertas. Kertas menang ke atas batu dan batu pula menang ke atas gunting.Pada waktu itu, peserta yang kalah dalam demo tersebut secara tidak sengaja telah mengeluarkan perkataan ?Oh! Sh**!? dari mulutnya. Edwina pantas meningkah, ?No! No! No!... in National Service, you don?t say that kind of word in front of the kids, you should say, ?Oh, love!? or ?Oh, care!?...?, walaupun ketawa mendengar gurauan itu, jauh di sudut hati, aku tersedar betapa tinggi tanggungjawab kami nanti, bukan saja untuk menjalankan tugas sebagai jurulatih, malah setiap tutur kata dan tingkah laku kami akan menjadi contoh kepada para peserta.Edwina menerangkan bahawa setiap pemain akan bermula sebagai telur. Cari telur yang lain dan mainkan Oo-som. Yang menang akan menjadi ayam dan cari pula ayam yang lain untuk pusingan Oo-som yang kedua. Telur yang kalah akan kekal sebagai telur dan cari telur yang lain dan mencuba nasib sekali lagi. Ayam yang menang akan menjadi dinasor manakala yang kalah akan turun semula sebagai telur dan cuba lagi untuk menang. Dinasor yang kalah pula akan turun semula ke peringkat ayam. Dinasor yang menang akan terus menjadi raja dan berdiri di luar kawasan permainan sambil ketawa memerhatikan telur, ayam dan dinasor lain yang berlawan sesama sendiri. Aku bernasib baik pada ketika itu kerana hanya gagal dalam perlawanan Oo-som yang pertama dan menang dalam tiga perlawanan seterusnya. Simboliknya permainan ini yang menarik minatku. Apa yang boleh diterjemahkan daripada watak telur, ayam, dinasor dan raja ini sebenarnya adalah peringkat-peringkat yang perlu dilalui oleh kita dalam hidup ini. Agak mengecewakan apabila ada segelintir peserta PKN yang enggan bermain dan ada pula yang bermain tapi walaupun gagal semasa menjadi telur, mereka terus berlagak sebagai raja. Remaja pada usia belasan tahun sememangnya agak nakal dan perlu dibentuk dengan pendekatan psikologi yang halus. Aku sendiri masih ingat keadaan diriku ketika usia tersebut. Perasaan tidak sabar untuk menjadi dewasa agak menguasai fikiran. Zaman persekolahan yang ditinggalkan bagaikan telah mempersiapkan diriku sepenuhnya untuk menjadi seorang dewasa. Namun, pada usia meniti 25 tahun ini, aku sedar masih banyak yang perlu ku tempuh dan pelajari. Ilmu tentang hidup ini tidak pernah putus. Setiap hari ada saja perkara baru yang akan menjadi salah satu episod kehidupanku. Permainan ini menyedarkan aku bahawa tidak ada jalan pintas dalam hidup ini. Jika ada sekalipun, ia mungkin dilakukan dengan menyalahi peraturan dan undang-undang. Setiap daripada kita akan mula memasuki kehidupan yang sebenar sebagai ?telur?. Di peringkat paling rendah kita belajar dan berusaha untuk naik ke atas. Langkah demi langkah. Kita harus menempuh setiap cabaran dengan bijak dan sabar. Kemenangan mengatasi cabaran dan dugaan yang dilalui akan membawa kita ke peringkat yang lebih tinggi. Walaupun berjaya ke peringkat yang telah hampir dengan kejayaan, dengan sedikit kesilapan kita boleh jatuh semula. Untuk mencapai matlamat hidup, kita perlu bangkit juga. Berjuang sehingga ke titisan keringat yang terakhir. Cuba menjadi seorang manusia yang unggul.Permainan ini juga membayangkan unsur-unsur survival dalam hidup. Dunia yang semakin mencabar hari ini, memerlukan kita bersaing secara sihat. Perasaan takut dan malu harus diketepikan namun perjuangan yang dilakukan masih perlu berlandaskan maruah dan etika yang murni supaya kejayaan yang dicapai itu bernilai bukan saja di dunia malah untuk bekalan di akhirat kelak. Yang tidak mudah patah semangat dan yakin akan berusaha sehingga berjaya mencapai apa yang diinginkan. Setiap daripada kita akan berpeluang menjadi ?raja? cuma usaha dan masa yang akan membezakannya. Tuah seseorang juga dikatakan boleh menjadi penentu kejayaannya. Oleh itu berusahalah untuk menjadi insan yang berjaya. Jadilah Raja. Raja yang bijak menguruskan aset yang dikurniakan oleh Maha Pencipta kepadanya. farzishha2004
Monday, June 30, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment